TUGASAN:SYW 502
NAMA:MAZNAH BT ABDUL RAHEEN
NO.MATRIK:P-SM0082/14
Pendahuluan
Definisi pengurusan islam kontemporari menurut Mohd.
Affandi Hassan (1992) ialah “Pemenuhan amanah keinsanan di antara Tuhan dan
manusia yang mana manusia selaku hamba dan khalifah-Nya mesti melaksanakan amal
soleh berasaskan prinsip kerjasama dan syura dalam aktiviti kepengurusan. Matlamat pengurusan ialah pembangunan
tamaddun yang berasaskan nilai-nilai etika tauhidik dan oleh itu pengurusan
mesti dipastikan bersih daripada korupsi, sifat-sifat buruk dan ketidakadilan
baik di dalam organisasi mahupun masyarakat demi untuk mencapai matlamat utama
iaitu al-falah”. Manakala menurut
Muhammad Syukri Salleh (2003) pengurusan merujuk kepada setiap aspek kehidupan
manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT dengan menggunakan segala
peralatan yang selari dengan Islam, sama ada di peringkat individu, keluarga,
masyarakat, organisasi, negara dan alam sejagat.
Istilah insan dan insaniah mempunyai perkaitan
antara satu sama lain. Manusia atau
dalam Bahasa Arab dikatakan sebagai insan merujuk kepada makhluk sebaik-baik
ciptaan oleh Allah SWT berbanding yang lain contohnya seperti haiwan dan
tumbuhan. Ini kerana manusia dikurniakan
dengan akal, roh dan jasad (Rahimi Md Saad & Abdul Muhsien Sulaiman, 2010).
Darjat insan diangkat lebih tinggi berbanding dengan haiwan dan tumbuhan. Dlam kitab suci al-Qur’an, terdapat tujuh
istilah yang merujuk kepada konsep insan iaitu al-basyar, al-insan, al-nas,
bani Adam, al-ins, abd Allah dan khalifah Allah (Abdul Wahid Thahir, t.t.).
Nilai insan adalah sangat penting kerana seperti kita ketahui insan merupakan
salah satu daripada komponen terpenting yang berfungsi sebagai penggerak utama
dalam sesuatu pembangunan. Komponen akal
dan jiwa digunakan oleh insan dalam menguruskan sesuatu. Oleh itu elemen insan ditonjolkan dalam
kertas kerja ini untuk menunjukkan keseimbangan aspek insan yang berfungsi
sebagai pengurus dan sebagai elemen yang diurus.
Insaniah merupakan kata terbitan yang menggunakan
imbuhan “-iah” yang berasal daripada perkataan insan yang mempunyai maksud yang
sama dengan perkataan keinsanan yang membawa maksud kemanusian. Menurut Fadhlullah JamIil (1985) bahawa
istilah insaniah merujuk kepada berperikemanusian atau memiliki sifat keinsanan. Apabila seseorang itu dikatakan
berperikemanusian maka sewajarnya ia memiliki sikap belas kasihan terhadap
sesama makhluk, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi
ujian, beramanah, adil dan sedar akan tanggungjawab, berani dalam
mempertahankan nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan, tidak mementingkan
diri, tidak angkuh atau bermegah-megah dengan keturunan atau bangsa. Ringkasnya, seseorang yang mempunyai sifat
berperikemanusian akan bertindak mengikut lunas akhlak yang mulia dan tidak
akan tunduk kepada runtuhan hawa nafsu.
Masjid merupakan salah satu institusi yang penting
bagi umat Islam. Masjid bukan sahaja
merupakan tempat untuk umat Islam melakukan ibadat-ibadat khusus seperti
sembahyang, mambaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya bahkan institusi masjid
dijadikan sebgaai pusat pembangunan bagi umat Islam secara lebih
menyeluruh. Apabila melihat kembali
kepada sejarah Islam, usaha pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah
membina masjid untuk membentuk masyarakat dan negara Islam di Madinah. Melihat kepada peranan Masjid Nabawi di
Madinah, masjid tersebut berperanan sebagai nadi kepada segala kegiatan penting
pada zaman Rasulullah. Di mana baginda
mendidik umatnya agar mengatur urusan yang berkaitan dengan kehidupan dan aspek
keagamaan di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, masjid memainkan peranan yang luas
termasuklah hal yang berkaitan dengan ibadat, ilmu, politik, ekonomi,
ketenteraan, pentadbiran, pembentukkan dasar negara , perhubungan antara negara
dan sebagainya (Lokman dan Musa, 1996).
Ban Nua merupakan
sebuah perkampungan yang mempunyai majoriti penduduknya terdiri daripada
mereka beragama Islam yang terletak di daerah Hat Yai, Thailand. Pekerjaan utama kebanyakkan penduduk di situ
ialah sebagai nelayan, petani dan ada yang menjalankan aktiviti
perniagaan. Boleh dikatakan kebanyakkan
aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi mereka tertumpu di Masjid sebagai pusat
yang penting kepada komuniti Muslim.
Dakwah yang dilaksanakan oleh imam ialah membina sebuah masjid untuk
tujuan beribadah dan sebagai tempat musyawarah kepada penduduk Ban Nua, di mana
masjid menjadi sebuah pusat bagi segala aktiviti kemasyarakatan.
Pengurusan
Insaniah di Masjid Ban Nua, Thailand
Melihat kepada fungsi masjid Ban Nua, Thailand
kebanyakkan aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi tertumpu di Masjid sebagai
pusat terpenting kepada komuniti Muslim.
Dakwah yang dilaksanakan oleh imam ialah dengan membina sebuah masjid
untuk tujuan beribadah dan tempat musyawarah kepada penduduk Ban Nua, di mana
masjid menjadi sebuah pusat bagi segala aktiviti kemasyarakatan. Solat Jemaah ditekankan terhadap seluruh
komuniti Islam Ban Nua, sehingga mereka menjadikannya sebagai amalan utama dan
kewajipan dalam menunaikan ibadah zakat.
Hal ini mengubah pemikiran serta kefahaman komuniti Ban Nua agar selari
dengan syariat Islam. Masjid Ban Nua
dijadikan sebagai pusat pembangunan yang menyeluruh dan menjalankan pelbagai
aktiviti berbentuk fizikal dan spiritual.
Masjid merupakan tunjang kepada penubuhan koperasi yang berfungsi dalam
menguruskan dan melaksanakan sistem muamalat secara Islam sehingga tertubuhnya
koperasi Masjid yang dijadikan sebagai institusi kewangan dan perbankan Islam.
Dalam komuniti Islam Bna Nua, masjid merupakan
institusi yang penting dalam Islam maka dengan itu, ia harus membawa segala
syariat Islam untuk dijadikan sistem sosial dan budaya mengikut kadar
kemampuan. Untuk mencapai matlamat itu,
ia mesti terdiri daripada tiga unsur yang penting iaitu pengurusan ilmu,
pembinaan cara hidup dan pentadbiran serta pengurusan. Bagi unsur pengurusan ilmu, masjid Ban Nua
telah melaksanakan agenda ini dengan menggalakkan pendidikan sama ada
pendidikan secara formal atau tidak formal.
Pendidikan secara formal dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat
kanak-kanak, peringkat remaja dan pembelajaran untuk orang awam. Sementara, pendidikan secara tidak formal
terdiri daripada pelbagai bentuk contohnya seperti nasihat imam selepas solat
berjemaah, mengadakan kegiatan sempena hari kebesaran agama, mengadakan program
kursus remaja di luar bilik darjah dan lawatan sambil belajar untuk orang awam
dan sebagainya (Tabrani Lateh,2015)
Bagi unsur pembinaan cara hidup, dalam konteks
komuniti Ban Nua iaitu mengambil rukun Islam sebagai asas dan masjid berfungsi
sebagai pusat pengurusan dalam segala hal.
Pembangunan tersebut bermula dengan melaksanakan rukun Islam. Cara hidup ini merangkumi kehidupan seseorang
yang meliputi tiga aspek kehidupan iaitu aspek pendidikan, aspek sosial yang
meliputi budaya memberi atau bersedekah melalui acara minum teh di masjid
seminggu sekali, pengurusan kebajikan masyarakat kepada ahli jawatankuasa
masjid dan ahli qariah, usaha ke arah pemantapan institusi kekeluargaan,
penyusunan masyarakat mengikut “hukum pakat”, mengadakan kegiatan untuk
golongan belia dan pusat pengajian dan pengendalian sistem kesihatan Masjid Ban
Nua. Dan bagi aspek ekonomi ialah zakat
dengan pembinaan masyarakat saling bantu membantu, koperasi masjid Ban Nua
dengan pembinaan keutuhan ekonomi kepada masyarakat, homestay dan perkhidmatan
perahu dan penubuhan persatuan kaum ibu.
Jika di lihat dalam aspek pengurusan dan
pentadbiran, mesyuarat ibarat nadi kepada hal berkaitan pentadbiran. Ini adalah sesuai dengan firman Tuhan yang
memuji hambaNya yang beriman, mereka sering mengadakan mesyuarat dalam apa jua
sekalipun. Dalam hal berkaitan
pentadbiran masjid ini tiada sebarang saguhati kepada ahli anggota
pentadbir. Perkara yang paling penting
ialah keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan serta pengorbanan setiap anggota
pentadbir itu sendiri. Ini jelas
menunjukan bahawa setiap ahli anggota pentadbir Masjid Ban Nua telah
menunjukkan sikap pengorbanan yang tinggi selama ini. Antara buktinya seperti kegiatan ‘minum teh
sambil menderma’ yang sudah di amalkan sejak tahun 1997 sehingga kini.
Kesimpulan
Pengurusan insaniah yang dipraktikkan di institusi
atau organisasi ketika ini ialah bersifat material yang hanya mementingkan
keuntungan semata-semata. Jika hal ini
berlanjutan, ini akan membawa kepada keruntuhan institusi pembangunan
berteraskan Islam. Kesimpulannya, konsep
pengurusan insan di masjid Ban Nua, Thailand adalah berteraskan Islam. Ini kerana melalui konsep pengurusan insaniah
berkerangka Islam, masjid tersebut berjaya dalam pembangunan masyarakat tersebut
mengikut cara Islam.
RUJUKAN
1.Mohd. Affandi Hassan (1992). The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and Alternative Model, Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration Malaysia.
2. Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions.
3.Rahimi Md Saad dan Abdul Muhsien Sulaiman (2010). Proceeding Conference on Philosophy, Education & Humanity.
4. Fadhlullah Jamil (1985). Rasulullah SAW Sebagai Pembina Insaniah.Pusat Islam USM, Pulau Pinang.
5. Lokman dan Musa (1996). Pengantar Sains Pengurusan Masjid, Melaka: Majlis Agama Islam Melaka & Kolej Islam Melaka.
1.Mohd. Affandi Hassan (1992). The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and Alternative Model, Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration Malaysia.
2. Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions.
3.Rahimi Md Saad dan Abdul Muhsien Sulaiman (2010). Proceeding Conference on Philosophy, Education & Humanity.
4. Fadhlullah Jamil (1985). Rasulullah SAW Sebagai Pembina Insaniah.Pusat Islam USM, Pulau Pinang.
5. Lokman dan Musa (1996). Pengantar Sains Pengurusan Masjid, Melaka: Majlis Agama Islam Melaka & Kolej Islam Melaka.